Monday, 25 April 2016

Food Review: Golek-Golek Suasana Kampung

Ketika isteri saya mengajak saya untuk makan malam pada hari minggu bersama keluarga mertua saya, beliau forwardkan saya tentang restoran Golek-Golek Suasana Kampung. Bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang restoran tersebut, saya memohon jasa baik Pak Cik Google untuk pencarian dan nah, banyak review daripada beberapa blog, antaranya AKO, Supermeng Malaya dan lain-lain serta Facebook restoran tersebut. Restoran ini juga pernah masuk dalam akhbar Utusan Malaysia.

Setelah usai solat Maghrib kami pun bertolak ke restoran Golek-Golek Suasana Kampung untuk menikmati makan malam kami. Terletak di pinggir pusat bandar di kawasan Gombak, akses ke restoran itu betul-betul di tepi Lebuhraya MRR2 selepas susur keluar ke UIA/Karak. Untuk sampai ke restoran ini memerlukan sedikit kecekalan kerana perlu mendaki jalan yang sempit dan curam, selepas itu meletak kereta di kawasan yang disediakan berhampiran bekas kuari.

Sebaik menjengah restoran tersebut, suasana kampung dapat dirasai dengan berlatarkan rumah tradisional Melaka, dengan beberapa bahagian rumah dimanfaatkan hampir sepenuhnya, contohnya tingkap lama dijadikan paparan menu dan pintu dijadikan sebagai meja. Maka prinsip 3R (reduce, reuse and recycle) digunakan.



Rumah tradisional Melaka mennjadi tarikan utama Golek-Golek Suasana Kampung

Atas sebab banyak nyamuk, 'fogging' menggunakan papan telur digunakan


Selepas dibawa ke meja oleh pelayan yang mesra, kami pun memesan set untuk empat orang dengan tambahan dua nasi kosong, disebabkan kami ada enam orang. Antara menu dalam set ini ialah ikan pari bakar sambal petai, ikan siakap bakar sambal petai, daging salai masak lemak cili api, sotong goreng tepung telur masin dan air kedondong asam boi satu jag. Kemudian menu tambahan seperti terung goreng cabai turut dipesan. Sementara menunggu hidangan utama sampai, kami memesan 'signature french fries' sebagai kudapan.

Dalam masa sepuluh minit, hidangan utama pun sampai bermula dari kedondong asam boi, sekejap sahaja habis satu jag, satu lagi jag dipesan, diikuti dengan nasi, sotong goreng tepung telur masin, daging salai masak lemak cili api, terung goreng cabai, ikan pari bakar sambal petai dan ikan siakap bakar sambal petai. disebabkan perut sudah lapar, kami pun terus saja menikmati hidangan makan malam kami.

Air kedondong asam boi, memang laku hingga satu lagi jag dipesan

Sotong goreng tepung telur masin (kiri) dan daging salai masak lemak cili api (kanan)

Terung goreng cabai

Pari bakar sambal petai

Siakap bakar sambal petai


Dari segi rasa setiap hidangan, air kedondong asam boi memang terasa kedondongnya dan manis-manis buah, cuma kekurangan rasa asam boi disebabkan serbuk asam boi digunakan. Daging salai masak lemak cili api juga kurang pedas disebabkan memang permintaan kami untuk kurangkan cili api, namun kedua-dua hidangan tadi tetap memuaskan hati. Gabungan terung dan cabai goreng memang sebati dan membangkitkan rasa dan selera. Hidangan utama iaitu pari bakar sambal petai dengan siakap bakar sambal petai memang terbaik (thumbs up!). Sambal petai berjaya meresap dan bersebati ke dalam isi ikan semasa proses memanggang, dan berjaya menghasilkan satu rasa yang saling melengkapi, maka berjaya membangkitkan selera sehingga masing-masing licin dengan jayanya. Tidak kurang hebatnya dengan sotong goreng tepung telur masin, rasa kuning telur masin membangkitkan selera, ditambah dengan kerangupan sotong goreng tepung itu.

Secara keseluruhan, pengalaman menikmati hidangan di restoran ini akan kami ingati dan saya pasti akan singgah lagi untuk menikmati dan mencuba hidangan yang ada di restoran ini. Restoran ini sangat-sangat disyorkan untuk mereka yang ingin menikmati hidangan ikan bakar dalam suasana kampung di pinggir kota.


Info:

RESTORAN GOLEK-GOLEK SUASANA KAMPUNG.
Alamat: Lot 2074, Lingkaran Tengah 2, KM10, Gombak , 68100 Selangor
No. Tel: 017-407 0007
Waktu operasi: 6 pm - 12 am

Landmark: Seberang jalan Restoran Sukhumvit, perlu u-turn di susur keluar Greenwood, Gombak.


Penilaian:

Makanan: *****
Susunatur dalaman: *****
Servis: *****
Keseluruhan: *****

No comments:

Post a Comment