Monday, 25 April 2016

Food Review: Golek-Golek Suasana Kampung

Ketika isteri saya mengajak saya untuk makan malam pada hari minggu bersama keluarga mertua saya, beliau forwardkan saya tentang restoran Golek-Golek Suasana Kampung. Bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang restoran tersebut, saya memohon jasa baik Pak Cik Google untuk pencarian dan nah, banyak review daripada beberapa blog, antaranya AKO, Supermeng Malaya dan lain-lain serta Facebook restoran tersebut. Restoran ini juga pernah masuk dalam akhbar Utusan Malaysia.

Setelah usai solat Maghrib kami pun bertolak ke restoran Golek-Golek Suasana Kampung untuk menikmati makan malam kami. Terletak di pinggir pusat bandar di kawasan Gombak, akses ke restoran itu betul-betul di tepi Lebuhraya MRR2 selepas susur keluar ke UIA/Karak. Untuk sampai ke restoran ini memerlukan sedikit kecekalan kerana perlu mendaki jalan yang sempit dan curam, selepas itu meletak kereta di kawasan yang disediakan berhampiran bekas kuari.

Sebaik menjengah restoran tersebut, suasana kampung dapat dirasai dengan berlatarkan rumah tradisional Melaka, dengan beberapa bahagian rumah dimanfaatkan hampir sepenuhnya, contohnya tingkap lama dijadikan paparan menu dan pintu dijadikan sebagai meja. Maka prinsip 3R (reduce, reuse and recycle) digunakan.



Rumah tradisional Melaka mennjadi tarikan utama Golek-Golek Suasana Kampung

Atas sebab banyak nyamuk, 'fogging' menggunakan papan telur digunakan


Selepas dibawa ke meja oleh pelayan yang mesra, kami pun memesan set untuk empat orang dengan tambahan dua nasi kosong, disebabkan kami ada enam orang. Antara menu dalam set ini ialah ikan pari bakar sambal petai, ikan siakap bakar sambal petai, daging salai masak lemak cili api, sotong goreng tepung telur masin dan air kedondong asam boi satu jag. Kemudian menu tambahan seperti terung goreng cabai turut dipesan. Sementara menunggu hidangan utama sampai, kami memesan 'signature french fries' sebagai kudapan.

Dalam masa sepuluh minit, hidangan utama pun sampai bermula dari kedondong asam boi, sekejap sahaja habis satu jag, satu lagi jag dipesan, diikuti dengan nasi, sotong goreng tepung telur masin, daging salai masak lemak cili api, terung goreng cabai, ikan pari bakar sambal petai dan ikan siakap bakar sambal petai. disebabkan perut sudah lapar, kami pun terus saja menikmati hidangan makan malam kami.

Air kedondong asam boi, memang laku hingga satu lagi jag dipesan

Sotong goreng tepung telur masin (kiri) dan daging salai masak lemak cili api (kanan)

Terung goreng cabai

Pari bakar sambal petai

Siakap bakar sambal petai


Dari segi rasa setiap hidangan, air kedondong asam boi memang terasa kedondongnya dan manis-manis buah, cuma kekurangan rasa asam boi disebabkan serbuk asam boi digunakan. Daging salai masak lemak cili api juga kurang pedas disebabkan memang permintaan kami untuk kurangkan cili api, namun kedua-dua hidangan tadi tetap memuaskan hati. Gabungan terung dan cabai goreng memang sebati dan membangkitkan rasa dan selera. Hidangan utama iaitu pari bakar sambal petai dengan siakap bakar sambal petai memang terbaik (thumbs up!). Sambal petai berjaya meresap dan bersebati ke dalam isi ikan semasa proses memanggang, dan berjaya menghasilkan satu rasa yang saling melengkapi, maka berjaya membangkitkan selera sehingga masing-masing licin dengan jayanya. Tidak kurang hebatnya dengan sotong goreng tepung telur masin, rasa kuning telur masin membangkitkan selera, ditambah dengan kerangupan sotong goreng tepung itu.

Secara keseluruhan, pengalaman menikmati hidangan di restoran ini akan kami ingati dan saya pasti akan singgah lagi untuk menikmati dan mencuba hidangan yang ada di restoran ini. Restoran ini sangat-sangat disyorkan untuk mereka yang ingin menikmati hidangan ikan bakar dalam suasana kampung di pinggir kota.


Info:

RESTORAN GOLEK-GOLEK SUASANA KAMPUNG.
Alamat: Lot 2074, Lingkaran Tengah 2, KM10, Gombak , 68100 Selangor
No. Tel: 017-407 0007
Waktu operasi: 6 pm - 12 am

Landmark: Seberang jalan Restoran Sukhumvit, perlu u-turn di susur keluar Greenwood, Gombak.


Penilaian:

Makanan: *****
Susunatur dalaman: *****
Servis: *****
Keseluruhan: *****

Sunday, 24 April 2016

Food Review: Nasi Kak Wook by Choleq

Keinginan untuk menikmati juadah nasi Kak Wook, salah satu hidangan yang terkenal di negeri Cik Siti Wan Kembang tercetus apabila melihat rakan sekerja menikmati hidangan tersebut. Maka misi pencarian pun bermula dengan singgah di Restoran Choleq di Reko Sentral, Kajang. Persinggahan dibuat setelah mengulangkaji Facebook Restoran Choleq dan review daripada blog Hazman Fadzil.

Ketika tiba di Restoran Choleq, mungkin disebabkan masih belum waktu tengahari, juga hari ini hari Jumaat, restoran tersebut agak lengang. Oleh itu saya mengambil keputusan untuk 'tapau' nasi Kak Wook ke pejabat disebabkan kekangan masa dan tugasan pejabat. Saya disambut oleh pelayan restoran tersebut dengan mesra dan pesanan terus diambil, memandangkan keadaan restoran yang lengang.

Restoran Choleq
Susun atur Restoran Choleq
Kaunter penyediaan air minuman
Kaunter kudap-kudapan, perhatikan bekas dim-sum untuk menempatkan jajan
Botol air soda yang cukup legend diletakkan di atas meja
Baju Choleq yang mempunyai tandatangan individu tertentu dipamerkan, antaranya Imam Muda Aran dan Naz JJCM
Sudut menyediakan Nasi Kak Wok

Penantian untuk nasi Kak Wook disediakan agak lama, dengan chefnya baru nak goreng ayam. Jika anda mempunyai takat didih yang rendah (kurang sabar), pasti anda akan batalkan pesanan dan tinggalkan restoran ini. Mujurlah pelayan tersebut memohon maaf atas kelewatan penyediaan hidangan (maaf diterima), sejuklah hati sikit.

Nasi Kak Wook terdiri daripada nasi putih, ayam goreng kunyit yang dipotong kecil, gulai terung dan kacang panjang, dan sambal cili. Rasa lauk ayam pun cukup perisa kunyitnya, dengan terung dan kacang panjang bersebati dengan rasa gulai, dan sambal cili yang masam dan pedas menambah selera.

Set Nasi Kak Wook
Secara keseluruhan, hidangan ini memang disyorkan, walau bagaimanapun, servis perlu diperbaiki lagi dengan mempercepatkan masa penyediaan hidangan selepas pesanan diambil. Mungkin saya akan datang lagi untuk menilai menu seterusnya.

Penilaian:

Makanan: ****1/2
Servis: ***
Keseluruhan: ***1/2

Info:

1-G, Jalan Reko Sentral 1
Reko Sentral
43000 Kajang, Selangor, Malaysia

Landmarks: Petronas Reko Sentral

Pernah temasuk dalam Jalan-Jalan Cari Makan TV3.


Thursday, 21 April 2016

Happy Earth Day

Selamat hari bumi (earth day) kepada sekalian pembaca, semoga alam sekitar dapat dipelihara.

Food Review: Restoran Pecel Lele Lakulanjaya

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kali ini food review menjengah ke Restoran Pecel Lele Lakulanjaya untuk makan tengahari. Terletak berdekatan Kompleks Hentian Kajang, restoran ini menghidangkan hidangan Jawa yang terkenal iaitu Pecel Lele atau ikan keli goreng, ayam penyet dan bakso. Selain itu terdapat sudut bufet layan diri untuk nasi campur.


Sudut layan diri untuk nasi campur berlauk

Ketika sampai di restoran ini, seperti biasa restoran akan penuh pada waktu tengahari hingga menyukarkan mendapat tempat duduk, mujurlah seorang pelayan yang agak mesra membawa ke tempat duduk untuk dua orang. Susun atur dalaman restoran ini sama seperti restoran lain.


Restoran yang penuh ketika tengahari

Setelah meneliti menu yang diberikan, saya memilih set ayam bakar dan sirap bandung untuk hidangan makan tengahari. Dalam masa 10 minit pesanan sirap bandung dihantar diikuti dengan set ayam bakar. Set ayam bakar didatangkan dengan nasi, seketul ayam bakar, ulam timun, kobis dan potongan tomato, sepotong tauhu dan tempe goreng, sambal ayam penyet serta semangkuk sup.




Antara hidangan yang disediakan di dalam menu beserta harganya


Sirap bandung

Set nasi ayam bakar

Untuk review hidangan, rupa sirap bandung tidak semestinya mencerminkan rasa, kerana rasa sirap bandung itu cukup susu dan tidak cair. Rasa ayam bakar pada set hidangan ini sebati dengan perapan kicap manis, dan berjaya memikat selera, ditambah dengan rasa sup yang pekat dan cukup bumbunya. Sambalnya memang pedas, tetapi mampu membuka selera.

Secara keseluruhan, hidangan set ayam bakar dan sirap bandung di restoran ini boleh menandingi hidangan yang serupa di restoran yang terkenal, juga sesuai kepada mereka yang inginkan hidangan Jawa pada harga bajet. Tambahan RM0.50 dikenakan pada sup atau sambal tambahan. Saya akan datang lagi untuk mencuba menu yang lain.

Info:

Restoran Pecel Lele Lakulanjaya
No. 2, Jalan Hentian 1
Pusat Hentian Kajang, Jalan Reko
43000 Kajang, Selangor

Restoran Pecel Lele

Berhampiran Hentian Kajang dan KWSP cawangan Kajang.

Penilaian:

Hidangan: ****1/2
Servis: ****1/2
Keseluruhan: ****1/2



Tuesday, 19 April 2016

Food Review: Zawara Coffee

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Setelah sekian lama berehat, kali ini saya akan bercerita tentang Zawara Coffee di Bangi Sentral. Persinggahan kami di Zawara Coffee adalah untuk menjamu selera setelah usai membeli belah di butik-butik yang berada di Bangi Sentral.

Susun atur dalaman Zawara Coffee agak tipikal seperti kedai-kedai kopi 'hipster' yang lain, dan sebuah kontena dijadikan sebagai tempat untuk menerima pesanan dan mengambil hidangan yang dipesan, kreatif kan. Servis di Zawara Coffee juga mesra pelanggan, terutamanya ketika memesan hidangan, kerana sistem 'over the counter' diamalkan di sini. Pesanan hidangan dan bayaran dibuat terus di kaunter. Selepas bayaran dibuat, buzzer akan diberikan kepada pelanggan, di mana buzzer akan berbunyi apabila hidangan sedia diambil, juga di kaunter.
Buzzer yang diberikan selepas bayaran dibuat dan akan berbunyi apabila hidangan sedia diambil di kaunter 'pick-up'
Kami memesan hidangan 'Spaghetti Spicy Marinara Crab', 'Pulled Ayam Percik Sub' dan 'Churros with Butterscotch Dip' serta 'Iced Belgian Chocolate drink'.

Hidangan yang dipesan

Churros with Butterscotch Dip

Pulled Ayam Percik Sub

Spaghetti Spicy Marinara Crab

Iced Belgian Chocolate


Untuk review setiap hidangan, cecahan butterscotch pada hidangan Churros mempunyai rasa lemak manis dan bermentega, dan padanan dengan rasa churros memang berjaya. Hidangan Pulled Ayam Percik Sub mempunyai inti yang cukup rasa ayam percik dan enak dimakan tanpa memerlukan tambahan sos, malah tekstur daging ayam pada intinya juga terasa dan cukup. Sesuai dengan namanya, hidangan Spaghetti Spicy Marinara Crab mempunyai rasa pedas dan masam tomato yang cukup, diadun dengan isi ketam sebenar secukupnya dan keju parmesan yang melengkapkan rasa savoury hidangan ini. Kepedasan hidangan ini mampu membuat air mata anda keluar. Cuma hidangan ini akan menjadi lebih umpph kalau bebola isi ketam sebenar digunakan sebagai pengganti dua ketul surimi ketam yang kini disertakan. Rasa iced belgian chocolate agak pahit, mujurlah air gula tambahan disediakan di sudut condiment di sebelah kaunter pick-up, maka tambahan air gula dapat mengurangkan rasa pahit minuman ini.

Secara keseluruhan Zawara Coffee menawarkan hidangan yang enak dan sesuai untuk makan tengahari dan kaki snacking, serta servis yang cepat dan mesra pelanggan. Maka Zawara Coffee amat disyorkan dan saya akan datang lagi ke Zawara Coffee untuk menikmati hidangan yang lain. Untuk maklumat lanjut dan update mengenai Zawara Coffee, layari www.zawaracoffee.com atau Facebook Zawara Coffee.

Penilaian:
  • Makanan: *****
  • Servis: ****
  • Dalaman: *****
  • Keseluruhan: *****